Sejarah Sejarah

Taman Botani Negara Shah Alam (TBNSA) asalnya dikenali sebagai Taman Pertanian Malaysia Bukit Cherakah (TPM) yang mula dibangunkan pada 24 April 1986 di atas tanah Hutan Simpan Kekal Bukit Cherakah berkeluasan 816.9 hektar.

Pembangunan awal TPM dilaksanakan secara bergotong-royong melibatkan seramai 300 orang kakitangan Kementerian Pertanian dan 13 Jabatan/Agensi di bawahnya.

TPM kemudiannya telah dimasyhurkan menjadi Taman Pertanian Malaysia Bukit Cahaya Seri Alam oleh Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Al-Haj ibni Hisamuddin Alam Shah Al-Haj pada tahun 1991.

Pada tahun 2007, Jemaah Menteri telah bersetuju untuk membangunkan Taman Botani Negara bagi menggantikan TPM.

TPM secara rasminya ditransformasikan kepada TBNSA mulai  1 Januari 2011. Melalui pelaksanaan Pelan Induk TBNSA, ia akan menjadi salah sebuah dari tapak konservasi in-situ bagi tumbuh-tumbuhan dan ex situ bagi agro-botani tumbuh-tumbuhan hutan hujan tropika yang terbesar di dunia iaitu di dalam kawasan Hutan Simpan bagi maksud-maksud Persekutuan menurut kuasa perenggan 10(1)(k) Enakmen (Pemakaian) Akta Perhutanan Negara 1985.

Tujuan TBNSA dibangunkan adalah sebagai pusat kecemerlangan negara dalam bidang pendidikan, penyelidikan saintifik dan pemuliharaan bagi pembangunan botani dan hortikultur di samping mewujudkan peluang-peluang aktiviti rekreasi kepada masyarakat dengan taman yang menarik dalam persekitaran semula jadi.