Dasar Keselamatan ICT Dasar Keselamatan ICT

Kakitangan di Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) mempunyai tanggungjawab bersama untuk melindungi Aset ICT dan dalam masa yang sama mengawal maklumat dan hak intelek yang dipunyai oleh MOA. Segala aset yang kritikal perlulah dikawal untuk mengurangkan sebarang impak yang boleh mengganggu perkhidmatan di MOA. Kawalan keselamatan ICT di MOA merupakan fungsi kritikal yang perlu diterapkan ke dalam semua operasi dan perkhidmatan MOA.
Dokumen Dasar Keselamatan ICT menghuraikan pendekatan kementerian ke atas keselamatan ICT dan ia menjadi penanda aras komitmen dari pihak pengurusan. Dokumen ini akan menjadi dokumen rujukan utama yang menjurus kepada pembinaan dokumen yang berkaitan dengannya (garis panduan, prosedur dan sebagainya).

 
Objektif
Dokumen ini menyediakan penyataan Dasar Keselamatan ICT yang perlu dipatuhi oleh kakitangan MOA. Ia bertujuan untuk:
  • Memberi kesedaran kepada kakitangan tentang risiko keselamatan ICT dan cara-cara mengendalikannya;
  • Menerangkan peranan dan tanggungjawab kakitangan terhadap aset ICT; dan
  • Memastikan kerahsiaan, integriti dan ketersediaan ke atas aset ICT.
Skop
Apakah bentuk maklumat yang terikat dengan dasar ini?
Dokumen ini tergunapakai pada segala:
  • Jenis maklumat itu diwakili (tulisan, ucapan, elektronik dan segala bentuk yang ada);
  • Teknologi yang digunakan untuk mengendalikan maklumat tersebut (kabinet fail, mesin faks, computer);
  • Lokasi maklumat (di dalam pejabat, lokasi pelanggan, di dalam kapalterbang); dan
  • Kitarhayat maklumat (asal-usul maklumat, kemasukannya, pemprosesaan, pembahagian, penyimpanan dan pelupusan).
Siapakah yang perlu mematuhi dasar ini?
Dasar ini tergunapakai oleh keseluruhan pengguna aset ICT di MOA. Tiada pengecualian diberikan kepada sesiapapun. Kakitangan MOA yang bertaraf tetap, sementara atau kontrak adalah terikat dengan dasar ini. Dasar ini turut terpakai kepada kakitangan yang bekerja secara jauh (remote). Dokumen ini juga perlu dibaca bersama-sama dengan arahan/pekeliling dari pihak berkuasa dari masa ke masa.
Dalam keadaan-keadaan tertentu yang seperti dihuraikan pada mana-mana penyataan dasar, pihak ketiga perlu menghormati segala penyataan yang terdapat di dalam dasar yang sedia ada.

Dokumen dasar ini tergunapakai oleh:
  • Kakitangan MOA, tetap, sementara atau kontrak; dan
  • Pihak ketiga seperti perunding, kontraktor, pembekal perkhidmatan, pembekal dan agensi lain yang bertukar maklumat dengan MOA.
Tindakan akan diambil mengikut lunas undang-undang untuk memastikan dasar ini diikut dan dihormati.