Latar belakang Latar belakang

     1.6    Pada tahun 2007, Jemaah Menteri telah bersetuju untuk membangunkan Taman Botani Negara Shah Alam (TBNSA) menggantikan TPM dengan anggaran kos RM141 juta.  Dengan keluasan sedia ada, TBNSA akan menjadi Taman Botani yang terbesar di dunia.

     1.7    Tujuan TBNSA dibangunkan adalah sebagai pusat kecemerlangan negara dalam bidang pendidikan, penyelidikan saintifik dan pemuliharaan bagi pembangunan botani, hortikultur, pertanian serta bidang-bidang lain yang berkaitan dengannya. Kedudukan TBNSA yang terletak dalam perimeter pusat-pusat penyelidikan dan pembangunan seperti Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) dan Institut Penyelidikan dan Pembangunan Pertanian Malaysia (MARDI) serta institut pendidikan tinggi awam seperti Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Malaya membolehkan pakar-pakar botani, agronomi, veterinar, perikanan dan lain-lain dapat mengoptimumkan kewujudan TBNSA dalam bidang terpilih. Dalam masa yang sama, lokasi TBNSA di tengah-tengah Lembah Klang dapat memupuk dan menarik minat umum terhadap khazanah flora Malaysia di samping mewujudkan peluang-peluang dari aktiviti rekreasi yang mesra alam.

     1.8    Lanjutan itu, satu Memorandum Persefahaman telah ditandatangani di antara Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani Malaysia dengan Kerajaan Negeri Selangor pada 17 April 2006 di mana kawasan TPM akan diwartakan sebagai kawasan hutan simpan Bukit Cerakah bagi maksud-maksud Persekutuan di bawah subseksyen 10(1)(k) Akta Perhutanan Negara 1985 untuk penggunaan selama enam puluh (60) tahun.

     1.9    TPM telah ditransformasikan menjadi TBNSA pada 1 Januari 2011. Transformasi ini dijangka dapat meningkatkan kembali jumlah pengunjung ke TBNSA di mana peningkatan ketara dapat dilihat dalam lima (5) tahun kebelakangan ini seperti Jadual 1.   

Jadual 1

TAHUN

BIL. PENGUNJUNG (ORANG)

2006

112,986

2007

104,639

2008

144,866

2009

299,346

2010

316,014

2011

410,450

 

     1.10    TBNSA berperanan penting sebagai sebuah pusat  agropelancongan yang mana sektor ini telah dikenal pasti sebagai salah satu sumber pertumbuhan baru dan aktiviti hiliran pertanian niche serta bernilai tinggi di dalam Dasar Agro-makanan Negara. Ini sejajar dengan Teras 1 Misi Nasional iaitu meningkatkan nilai ditambah dalam ekonomi negara.

     1.11    TBNSA akan menjadi salah satu tapak dan pusat konservasi biodiversiti sumber flora dan fauna selaras dengan pengiktirafan Malaysia sebagai salah sebuah daripada tujuh belas (17) negara Megadiverse Countries dan juga keahlian Malaysia di dalam Group of Like-minded Megadiverse Countries.

     1.12    Di peringkat tempatan, TBNSA merupakan salah satu komponen terpenting Local Agenda 21 Shah Alam khususnya kepada agenda pembangunan mapan dari sudut pemuliharaan ekosistem. Ia telah menjadi salah satu tapak penanaman pokok oleh Agensi Kerajaan dan pihak swasta bagi memenuhi komitmen Kerajaan semasa Earth Summit di Rio de Janeiro pada tahun 1992 untuk memastikan sekurang-kurangnya lima puluh (50) peratus kawasan negara adalah kawasan hutan dan juga berperanan sebagai paru-paru hijau (green lung)yang utama untuk kawasan Lembah Klang.

     1.13    Pelaksanaan Pelan Induk TBNSA yang akan selesai pada tahun 2014 akan menjadikan:

  1. TBNSA sebagai Pusat Taman Botani Negara dan nadi bagi rangkaian Taman-taman Botani yang terdapat di seluruh negeri;
  2. Sebuah pusat saintifik, pendidikan dan konservasi sumber kebangsaan bagi pembangunan botani, hortikultur, perhutanan dan lain-lain bidang berkaitan di Malaysia; dan
  3. Pusat agropelancongan yang lengkap dari segi pakej pengisian elemen pendidikan, penginapan dan rekreasi.
Halaman: 1  2