Pelaksanaan projek-projek pembangunan pertanian memerlukan sokongan perkhidmatan yang cekap dan berkesan. Penyediaan sumber manusia yang mahir, sumber kewangan yang mencukupi, infrastruktur dan teknologi terkini dari peringkat awal penyediaan input, pengeluaran, pengendalian sehingga kepada pemasaran hasil-hasil dan produk-produk pertanian dan juga bahan-bahan makanan adalah amat penting dalam usaha untuk menjaya dan memajukan sektor ini. Sehubungan itu, pendekatan pelaksanaan projek-projek pertanian melalui kaedah MOA Inc. telah diperkenal dan dilancarkan oleh Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani pada 23 Mac 2003.
Objektif pelaksanaan projek-projek secara MOA Inc. adalah untuk meningkatkan keberkesanan sistem penyampaian bagi mencapai matlamat mentransformasi sektor pertanian dan meningkatkan peranan Kerajaan dalam menghadapi isu-isu, cabaran-cabaran dan kehendak-kehendak sektor pertanian agar berdaya saing untuk menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara secara berterusan.
Pelaksanaan projek-projek pembangunan pertanian berasaskan konsep MOA Inc. menggariskan penggemblengan seluruh pemikiran, tenaga dan sumber manusia daripada kesemua tiga Jabatan dan lapan Agensi di bawah Kementerian untuk memberikan khidmat kepakaran dan nasihat yang terbaik bagi membantu golongan sasar. Melalui pendekatan ini juga, kesemua Jabatan dan Agensi tersebut akan memberi perkhidmatan secara berpasukan di semua peringkat pembangunan projek seperti perancangan, pelaksanaan, pengurusan, pemasaran, pemantauan dan penilaian.