Perutusan Pengarah Perutusan Pengarah

 

Selamat datang ke tahun 2017. Alhamdulillah, segala pujian dan kesyukuran dipanjatkan ke hadrat Allah SWT.  Dengan limpah dan izinNya, tahun 2016 telah melabuhkan tirai dengan pesona citra warna di Taman Botani Negara Shah Alam (TBNSA) ~ Paru-Paru Bandar raya.  

Segala iltizam dan petunjuk prestasi dicapai dengan begitu membanggakan bagi memastikan TBNSA terus melangkah dengan jauh serta dengan wajah yang lebih segar dan menarik minat pengunjung untuk beriadah, berekreasi dan bersantai secara alami.  Dengan keluasan hutan yang menghasilkan bekalan oksigen yang banyak, disulami dengan aktiviti riadah yang ringan bersama rakan dan taulan, mahupun keluarga tercinta – TBNSA memberikan inspirasi kepada gaya hidup sihat dan semula jadi kepada masa depan.

Melungsur ke tahun 2017 ini, TBNSA menjanjikan pelbagai iltizam, semangat dan prestasi yang lebih segar lagi menarik untuk para pengunjung TBNSA mengalami serta beriadah di sini dengan lebih selesa, semula jadi dan memicu ingatan terbaik sepanjang mereka berada di tengah-tengah paru-paru bandaraya ini.  Kekuatan kami adalah semangat anda yang tanpa jemu dan henti menyokong hasrat murni TBNSA untuk menjadi destinasi perlancongan, percutian dan riadah yang lebih praktikal, berbaloi dan alami.  Kami berusaha untuk menyajikan tahun 2017 ini dengan pelbagai lagi keseronokan yang berterusan agar semangat anda tetaplah bersama kami di sini.  

Sepanjang tahun yang lalu, seramai 383,329 orang telah berkunjung ke TBNSA dengan lawatan kerja sebanyak 4 kali.  Ia suatu jumlah yang agak signifikan tatkala suasana persekitaran yang tidak begitu kondusif.  Namun ia bukanlah halangan untuk anda dan kami untuk saling lengkap melengkapi keperluan emosi dan jasmani agar menjadi suatu simbiosis antara alam dan kehidupan ini.  

Semoga harapan dan hasrat kami di tahun 2017 ini akan tercapai dengan kerjasama pelbagai pihak termasuk rakan strategik kami serta anda sebagai salah satu daripada penyumbang kejayaan kami.  Dengan pelbagai iltizam dan harapan ini, semoga anda terus berpuas hati dan menjadikan TBNSA sebagai destinasi pilihan untuk beriadah, berekreasi dan bersantai secara semula jadi.  Kerana TBNSA ialah paru-paru di Bandar raya.  

Teruskan mengikuti berita dari kami di laman ini, twitter dan laman web.


Sekian.
Mohammad A'sim bin Md Ali
Pengarah
TBNSA