Latar belakangMAKLUMAT MENGENAI TAMAN BOTANI NEGARA SHAH ALAM (TBNSA), SHAH ALAM, SELANGOR 1. LATAR BELAKANG 1.1 TPM yang dulunya dikenali sebagai Taman Pertanian Bukit Cerakah mula dibangunkan pada 24 April 1986 di atas tanah Hutan Simpan Negeri Selangor berkeluasan seribu dua ratus lima puluh lapan (1,258) hektar ketika itu. Kerja-kerja awal pembangunan kawasan TPM dilakukan secara bergotong-royong oleh seramai tiga ratus (300) orang kakitangan Kementerian Pertanian dan tiga belas (13) Jabatan/Agensi di bawahnya. Nama Taman Pertanian Bukit Cerakah kemudiannya telah dimasyhurkan menjadi Taman Pertanian Malaysia Bukit Cahaya Seri Alam oleh Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Al-Haj ibni Hisamuddin Alam Shah Al-Haj pada tahun 1991. 1.2 Tujuan TPM dibangunkan adalah untuk mempamerkan teknologi pertanian di Malaysia kepada umum dan menjadi satu universiti terbuka untuk orang ramai mengenal dan mempelajari pelbagai komponen dalam sektor di samping berperanan sebagai sebuah pusat tarikan setempat agro-pelancongan dan agro-perhutanan di Malaysia. 1.3 TPM terletak di tengah-tengah Lembah Klang yang pesat membangun dan dihubungi dengan empat (4) rangkaian lebuh raya utama iaitu NKVE, KESAS, Persekutuan dan GUTHRIE. TPM menjadi terkenal kepada penduduk Malaysia dan menjadi salah satu destinasi untuk pengunjung-pengunjung dari dalam dan luar negara termasuklah Sultan-sultan dari negeri-negeri dalam Malaysia, Ketua-ketua Kerajaan, Maharaja Jepun Akihito, anggota-anggota Kabinet Malaysia, Perdana-perdana Menteri/Menteri-menteri/duta-duta dari negara-negara ASEAN, Taiwan, Pakistan, Fiji, Kanada, Peru, Zimbabwe, Sri Lanka, Jepun, Sepanyol, Senegal, China, United Kingdom, Poland, Sudan dan Emiriyah Arab Bersatu. Bilangan pengunjung TPM pada tahun 90an pernah mencecah sehingga lima ratus ribu (500,000) orang. Namun yang demikian, persaingan yang diberikan oleh lain-lain pusat rekreasi, pusat membeli belah dan taman tema telah menyebabkan pengunjung berkurangan pada penghujung tahun 90an dan awal abad ke dua puluh satu (21). 1.4 TPM kemudiannya telah secara beransur-ansur dikurangkan keluasannya akibat pembangunan di kawasan pinggirannya sehingga sekarang meliputi kawasan seluas lapan ratus tujuh belas (817) hektar. Dengan keluasan ini, TPM masih lagi menjadi pusat agro-pelancongan dan agro-perhutanan yang terbesar di dunia. Dengan koleksi spesies flora yang pelbagai merangkumi tumbuhan dan pokok sebanyak empat ratus dua puluh dua (422) spesies kesemuanya, TPM secara langsung berperanan sebagai "paru-paru" atau green lung kepada Lembah Kelang. Spesies-spesies pokok termasuklah pokok meranti, cengal, keranji, kempas, rengas, resak dan lain-lain. Daripada empat ratus dua puluh dua (422) spesies pokok ini, terdapat tiga puluh satu (31) spesies pokok yang hanya terdapat atau endemic di Semenanjung Malaysia terdapat di TPM manakala dua puluh (20) spesies pokok lagi tersenarai sebagai spesies terancam dalam senarai 2004 IUCN Red List of Threatened Species. 1.5 Untuk koleksi spesies amfibia dan reptilia pula, kajian yang dijalankan setakat ini baru menemui sebanyak dua puluh dua (22) spesies dan untuk mamalia, hanya lima (5) spesies mamalia sahaja berjaya direkodkan setakat ini. Terdapat banyak lagi spesies amfibia, reptilia dan mamalia yang menghuni hutan TPM seperti tapir, landak raya/paya dan lain-lain tidak termasuk dalam senarai spesies yang dijumpai semasa kajian. Selain dari itu, terdapat dua puluh lima (25) spesies ikan yang menghuni sungai dan empangan di TPM. Terdapat potensi juga untuk menjalankan kajian mengenai spesies burung yang terdapat di TPM yang mana tiga (3) spesies burung enggang sering dilihat di sini.
Halaman:
1 2
|